[back]
PM puas hati pameran NKRA
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dibuka kepada umum 18 Disember lalu, bagi memberi peluang kepada mereka memberikan pandangan dan ulasan dalam usaha membantu kerajaan menjayakan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan menteri berkaitan untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai apa yang berlaku dalam masa dua hari pameran di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, di Petaling Jaya.
"Saya dimaklumkan pameran NKRA mendapat sambutan menggalakkan yang mana ramai melawat pameran ini dan mereka mendapat gambaran sebenarnya dengan lebih terperinci akan apa yang kita maksudkan dengan NKRA, dan langkah serta program yang dilaksanakan untuk memenuhi NKRA dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang kita gariskan dalam enam bidang.
"Pendekatan yang kita gunakan sangat telus dan kita berharap rakyat akan memberi pandangan supaya program transformasi kerajaan ini menjadi sesuatu yang dapat diperkukuhkan menerusi input daripada rakyat.
"Hasrat kita ada dua sebenarnya. Pertama kita telus supaya rakyat faham dan kedua, kita dapat cadangan balas daripada rakyat sendiri," katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, pihaknya menerima lebih 1,000 komen bertulis daripada kira-kira 5,000 pengunjung yang menghadiri program berkenaan.
Mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap pelaksanaan kaedah itu, Najib berkata, mereka perlu berlaku adil dengan memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakannya.
Beliau mengakui jenayah dan rasuah adalah dua bidang mencabar yang perlu ditangani sebaiknya.
"Jika pembangunan fizikal, ia tertakluk pada peruntukan kewangan dan jentera pelaksana, tetapi kedua-dua ini (jenayah dan rasuah), ada unsur subjektif," katanya.
Beliau menegaskan lima bengkel diadakan pada peringkat jemaah menteri sebelum ini dan mereka mendukung aspirasi NKRA serta matlamat terperinci yang hendak dicapai.
Bookmarks:
Furl it
Del.icio.us
Digg it
Fark it
Blink it
Spurl it
Smarking
0 Comments
Posted on 21 Dec 2009 by shockwave
Content Management Powered by CuteNews
