[back]
Tak mudah dapat semula kerakyatan
ROME: Rakyat Malaysia yang melepaskan taraf kewarganegaraan akan berdepan kesukaran sekiranya mereka memohon semula untuk mendapatkan status sebagai warga negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi mereka berfikir dengan mendalam terlebih dulu sebelum 'membuang' kewarganegaraan untuk menetap di negara lain.
Beliau berkata, tindakan itu yang diambil segelintir rakyat Malaysia adalah atas kehendak mereka sendiri dan bukan kerajaan yang membuat keputusan itu.
"Agak sukar bagi mereka yang melepaskan kewarganegaraan untuk mendapatkannya semula," katanya pada sesi dialog bersama masyarakat Malaysia di Itali, malam kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri menjawab soalan sama ada kerajaan akan memberi pertimbangan untuk mengembalikan semula kewarganegaraan kepada rakyat Malaysia setelah melepaskan kerakyatan mereka.
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Duta Malaysia ke Itali, Ramli Naam.
Muhyiddin berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Jaminan Makanan Dunia 2009, selama tiga hari yang bermula Isnin lalu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tahu ada antara rakyat Malaysia yang memilih untuk melepaskan kewarganegaraan mereka, dan selepas itu mahu mendapatkannya semula disebabkan banyak faktor, termasuk merindui kampung halaman.
"Memanglah, mereka boleh memohon semula untuk mendapatkannya, tetapi tiada sebarang jaminan bahawa mereka boleh memperoleh kembali kerakyatan kerana ini adalah perkara yang serius," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara selama bertahun-tahun serta menimba banyak pengalaman supaya pulang dan berkhidmat di negara ini.
Dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia di luar negara supaya menjalankan apa jua peranan sebagai duta muhibah Malaysia, dalam usaha mempromosikan negara ini.
"Saya dengar ada antara anda yang mempunyai restoran menjual makanan Malaysia di sini. Ini satu daripada contoh untuk anda menonjolkan imej negara ini," katanya. Bernama
Bookmarks:
Furl it
Del.icio.us
Digg it
Fark it
Blink it
Spurl it
Smarking
0 Comments
Posted on 19 Nov 2009 by shockwave
Content Management Powered by CuteNews
