[back]
TPM Yakin Transformasi Mampu Perbaiki Sosioekonomi Masyarakat
PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakin kedudukan masyarakat India di negara ini akan bertambah baik hasil pelbagai transformasi yang sedang dan akan dilakukan kerajaan untuk memperbaiki taraf sosioekonomi mereka.
Beliau berkata, antara usaha dilakukan ialah melalui pelajaran dengan meningkatkan bilangan golongan terpelajar kaum India manakala peratusan kaum India dalam perkhidmatan awam juga ditambah hingga 15 peratus.
"Usahawan India juga dibantu menerusi Yayasan Tekun dengan peruntukan sebanyak RM15 juta. Lebih 2,000 peniaga kaum India mendapat manfaat menerusi bantuan ini kerana kerajaan mahu melihat penyertaan lebih tinggi kaum India dalam bidang sosioekonomi," katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali di Ladang Siliau, dekat sini, petang semalam.
Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, kira-kira 10,000 orang mengunjungi majlis itu yang diadakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga mahu melihat pekerja ladang di negara ini bekerja dalam suasana ladang moden yang disegani pada peringkat dunia.
"Semua usaha yang kerajaan lakukan adalah untuk memastikan kaum India tidak terbelenggu dalam kemiskinan tegar dan tidak lagi dikenali sebagai masyarakat yang dikaitkan dengan sektor perladangan," katanya.
Beliau memberi jaminan kerajaan memastikan setiap kaum di negara ini mendapat keadilan berdasarkan Perlembagaan dan Rukun Negara.
"Hak setiap warga terjamin dan tidak ada mana-mana kaum terpencil atau dipencilkan. Di negara ini, tidak ada warga kelas pertama, kedua atau ketiga seperti di sesetengah negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terus berdiri teguh bersama Barisan Nasional (BN) yang sudah membuktikan rekod perkhidmatan yang baik sejak negara mencapai kemerdekaan bagi memastikan hala tuju lebih cemerlang pada masa depan.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menafikan pada masa tertentu, ada perselisihan faham berlaku tetapi tidak menjejaskan perpaduan.
"Lupakan semua perselisihan lalu. Ada banyak kerjasama yang boleh dilakukan, sama ada dalam satu kaum dan antara kaum. Kita perlu bekerja keras untuk membuktikan kita dapat menyatukan tamadun besar dunia," katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20091102001106/Article/index_html
Bookmarks:
Furl it
Del.icio.us
Digg it
Fark it
Blink it
Spurl it
Smarking
0 Comments
Posted on 02 Nov 2009 by shockwave
Content Management Powered by CuteNews
