left_bar_top
PTD Forum

SUBSCRIBE RSS



Receive updates into your e-mail automatically!

Enter your email address:

left_bar_bottom


left_bar_top


left_bar_bottom
left_bar_top
left_bar_bottom

PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK

Perkhidmatan Awam Malaysia merupakan suatu jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif dalam melaksanakan dasar-dasar dan keputusan kerajaan bagi mencapai segala objektif dan matlamat negara. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (Per. 132) Perkhidmatan Awam terdiri daripada Angkatan Tentera, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Pasukan Polis, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri dan juga Perkhidmatan Pendidikan. Tujuan utama Perkhidmatan Awam ditubuhkan adalah untuk membentuk suatu persekitaran masyarakat yang yang baik dari segi keamanan, ketenteraman, pelajaran, keadilan, kebebasan, kesihatan dan membangun dari segi ekonomi dan sosial.

Perkhidmatan Awam mempunyai fungsi dan peranan yang pelbagai seperti membantu dalam penggubalan polisi dan dasar kerajaan, menjadi penasihat kepada kerajaan, serta merancang, melaksana dan memantau dasar, program dan aktiviti kerajaan. Untuk itu, Perkhidmatan Awam mempunyai pelbagai jabatan, agensi dan badan yang mempunyai pengkhususan masing-masing yang mempunyai kepentingan kepada rakyat dan negara. Di dalam Perkhidmatan Awam, terdapat sebanyak 278 skim perkhidmatan, termasuklah Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan awam terawal dan ‘premier’ yang telah bermula sejak zaman penjajahan British lagi iaitu pada 1904. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa asal usul perkhidmatan ini adalah lanjutan dari Malayan Civil Services sebelum ditukar kepada Malaysian Home and Foreign Services (MHFS) pada 1966. Pada 1971, nama Malayan Home and Foreign Services (MHFS) ini telah ditukarkan sekali lagi kepada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) sehinggalah ke hari ini.

Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) telah terlibat dalam setiap peringkat pembangunan negara, sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Ia bermula dengan peringkat pengukuhan struktur pentadbiran negara (1950an sehingga lewat 1960an) dan peringkat perlaksanaan program pembangunan infrastruktur sosial, ekonomi dan perindustrian (1970an). Pada 1960an dan 1970an juga perkhidmatan awam merupakan engine of growth kepada negara sebelum dipindahkan kepada sektor swasta, dan diteruskan pada era 1980an sehingga sekarang dengan peranan untuk bertindak sebagai pemacu dan pemandu kepada kemajuan negara.

Bagi kebanyakan orang, tugas utama bagi penjawat dalam perkhidmatan ini sudah pasti, tidak lain dan tidak bukan, iaitu sebagai diplomat dimana-mana kedutaan ataupun pejabat pesuruhjaya tinggi di negara-negara asing. Kebanyakan dari pemohon-pemohon juga sewaktu sesi temuduga apabila ditanyakan tentang bidang tugas PTD, pasti akan menjawab bidang tugas PTD ialah sebagai diplomat, bertugas dengan Wisma Putra, dan sentiasa ke luar negeri. Ini merupakan suatu tanggapan cetek dan terlalu sempit sedangkan bidang tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik adalah amat luas. Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebenarnya mengisi pelbagai peringkat jawatan

Sebenarnya, perkhidmatan ini mempunyai bidang pengkhususannya yang tersendiri, iaitu Hubungan Antarabangsa dan Luar Negeri, Keselamatan dan Pertahanan Negara, Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah / Tanah / Daerah / Tempatan, Perancangan dan Pentadbiran Sosial/Infrastruktur, Pengurusan Sumber Manusia dan Organisasi, Pengurusan Sumber Ekonomi, dan Pengurusan Sumber Kewangan. Kesemua bidang pengkhususan ini membolehkan penjawat dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik ditempatkan di Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan Persekutuan, Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri, Pentadbiran Kerajaan Tempatan dan terdapat juga yang ditempat dan dipinjamkan ke badan-badan berkanun dan badan-badan antarabangsa.

Perkhidmatan ini memegang kepimpinan utama di semua kementerian dan di pelbagai jabatan persekutuan serta sebahagian pentadbiran negeri sebagai Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Duta, dan juga Pegawai Daerah.